Thursday, April 4, 2013

Bahasa Rojak

Penggunaan Bahasa Melayu "rojak" yang berleluasa dalam kalangan masyarakat adalah satu kes kehilangan bahasa yang boleh menghakis kekuatan bahasa itu sendiri jika tidak dibendung. Istilah bahasa rojak bukan istilah ilmu. Istilah ini dicipta oleh mereka yang prihatin akan situasi dan nasib bahasa Melayu. Boleh dikatakan isu ini diperkatakan saban tahun di negara kita memandangkan saranan dan cadangan tentang isu ini tidak pernah membawa apa-apa hasil yang diharapkan. 

     Menurut definisi, bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur iaitu antara bahasa ibunda dengan bahasa asing. Bagaimanapun, ramai yang mendefinisikannya sebagai percampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Walaupun begitu, definisi bahasa rojak dalam konteks perbualan dan penulisan harian di negara kita boleh diperluaskan kepada pelbagai tafsiran. Kita juga boleh menganggap percampuran antara bahasa baku dengan perkataan selain daripada bahasa baku adalah bahasa rojak.

     Punca utama berlakunya penggunaan bahasa rojak adalah sikap penutur itu sendiri yang mementingkan bahasa asing daripada bahasa sendiri. Kemasukan istilah asing yang dianggap lebih sesuai dan dapat mengangkat imej penuturnya terutama bagi masyarakat bandar memburukkan lagi keadaan. Selain itu, golongan yang terkenal dan terpelajar juga tidak terkecuali menggunakan bahasa rojak dalam komunikasi harian. 

Contoh penggunaan bahasa rojak:

 










Ulasan: Percampuran antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam percakapan menyebabkan bahasa tercemar. Tidak salah sekiranya ingin berbahasa Inggeris, namun janganlah mencampurkan kedua-dua bahasa dalam satu ayat. Walau bagaimanapun, eloklah sekiranya kita menggunakan bahasa kebangsaan supaya bahasa Melayu terus unggul di mata dunia. 

Wednesday, April 3, 2013

Lirik Lagu Merosakkan Bahasa


Sewaktu asyik mendengar radio petang semalam, tiba-tiba DJ yang bertugas memutarkan lagu bertajuk Kantoi yang dinyanyikan oleh Zee Avi. Lirik lagu tersebut bercampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Saya tidak menafikan bahawa cerita di sebalik lagu itu menarik dan sudah pun menjadi siulan muda mudi kerana melodinya cukup enak di dengar malah saya sendiri juga turut terikut-ikut menyanyikannya. Bagi sesetengah masyarakat, perkara sebegini dianggap remeh, namun perlu diketahui bahawa lirik lagu juga boleh menyebabkan sesuatu bahasa itu rosak. Hal ini demikian kerana terdapat juga sesetengah orang belajar berbahasa melalui lagu. Sekiranya lagu yang dihasilkan menggunakan nahu bahasa yang salah, maka rosaklah bahasa mereka.

Contoh Lirik lagu : Kantoi- Zee Avi

http://www.youtube.com/watch?v=iHA5Mg3gh2w

Semalam I call, you tak answer
You kata you keluar pergi dinner
You kata you keluar dengan kawan you
But when I call Tommy he said its wasn't true
So I drove my car pergi Damansara
Tommy kata maybe you tengok bola
Tapi bila I sampai...you, you tak ada
Lagi la I jadi gila
So I called and called sampai you answer
You kata sorry sayang tadi tak dengar
My phone was on silent, I was at gym
Tapi latar belakang suara perempuan lain
Sudahlah sayang, I dont't believe you
I've always known thats ur words were never true
Why I'm with you?
I pun tak tau
No wonder la my friends pun tak suka you
So I guess thats the end of our story
Akhir kata she accepted his apology
Tapi last-last kita dapat tau she was cheating too
With her ex boyfriend's best friends.. Tommy


Ulasan : Oleh itu, saya yakin bahawa sekiranya lagu yang dihasilkan mengambil kira aspek-aspek tatabahasa sesuatu bahasa dan masih menjaga kehalusan seni lagu itu sendiri, maka lagu tersebut boleh dihayati dengan sepenuhnya. 

Tuesday, April 2, 2013

Maaf vs Sorry


Dewasa ini, perkataan 'sorry' semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat sekeliling. Perkataan ‘maaf’ pula semakin dilupakan seolah-olah tidak wujud perkataan tersebut dalam kamus bahasa Melayu. Di sini saya selitkan situasi yang menggambarkan perkataan ‘sorry’ lebih mendominasi berbanding perkataan ‘maaf’.


Pembeli      : Kak, nasi lemak ni sebungkus berapa ye?
Penjual      : Nasik lemak sotong ye… RM4.50, dik. Nak ke?
Pembeli      : Emm… bolehlah. Kasi sebungkus ye kak.
Penjual      : Ni nasi lemaknya dik.
Pembeli      : Nah… (Sambil menghulurkan not RM50)
Penjual      : Laa… Tak ada duit kecik ke?
Pembeli      : 'Sorry' kak. Tak ada. Ni aje duit yang saya ada.
Penjual      : Oh… tak apalah.

Berdasarkan situasi di atas, kelihatan penjual tersebut tidak pelik apabila pembelinya mengungkapkan perkataan "sorry". Hal ini demikian kerana, perkataan "sorry" sudah menjadi satu kebiasaan semasa berkomunikasi untuk menggantikan perkataan ‘maaf’. Adakah perkataan "sorry" lebih selesa di ungkapkan berbanding perkataan maaf? Saya sendiri kekok untuk menggunakan perkataan maaf tersebut. Terasa agak skema apabila menggunakannya sedangkan itulah bahasa ibunda kita.

Ulasan : Jika tidak membiasakan diri dengan sesuatu, sampai akhirnya pun tidak akan merasa biasa. Oleh itu, saya berpesan kepada diri sendiri dan pembaca sekalian agar belajar untuk membudayakan perkataan ‘maaf’ dalam kehidupan seharian. Siapa lagi yang mampu memartabatkan bahasa Melayu jika bukan bangsa itu sendiri?

Menyumpah dan Mencarut


Kita sudah sedia maklum tentang budaya sesetengah masyarakat kita yang suka mencarut dan menyumpah seranah ketika berkomunikasi. Kebelakangan ini, kita sering membaca status-status di laman sosial yang menggunakan bahasa kesat untuk meluahkan rasa marah. Begitu juga  dalam perbualan seharian sudah ramai yang tidak menggunakan bahasa yang sopan terutamanya apabila emosi menguasai diri. Perkara sebegini bukan sahaja terjadi dalam kalangan remaja malah orang dewasa juga turut terikut sama.

"Mencarut merujuk kepada perbuatan memaki hamun ataupun pengluaran kata-kata kesat. Secara umumnya, mencarut adalah perbuatan yang tidak berfaedah. Perbuatan ini hanya dapat mengurangkan rasa hormat orang terhadap diri kita sendiri. Dalam budaya Melayu itu sendiri, mereka yang mencarut dan bercakap tidak senonoh dianggap sebagai kurang ajar, kurang pendidikan, berasal dari keturunan tidak baik dan sebagainya."

CONTOH-CONTOH BAHASA MENCARUT
*macam haram
*bahlul
*bangang
*celaka
*babi
*sial


Perbuatan menyumpah seranah dan mencarut merupakan perbuatan yang negatif. Jika perbuatan tersebut diamalkan mungkin akan menyebabkan masyarakat sekeliling memandang rendah kepada si pelaku kerana menyumpah sebenarnya mampu merendahkan martabat diri seseorang. Terdapat juga masyarakat yang berpendapat bahawa mereka yang suka menyumpah dengan menggunakan bahasa yang tidak enak didengar berkemungkinan besar mereka tergolong dalam kalangan orang-orang yang tidak berpelajaran.

Ulasan : Jika hendak menegur atau memarahi seseorang, tidak salah sesekali kita berkasar tetapi bukanlah dengan cara mencarut atau menyumpah seranah. Cukuplah sekadar menegaskan dengan meninggikan suara atau menegur dengan bahasa sopan. Cara tersebut lebih baik da
n saya yakin cara itu juga lebih berkesan!

Sindiran


Anda semua sudah tentu pernah kena sindir, bukan? Malah, anda juga turut melakukan perkara yang sama sekiranya terdapat sesuatu yang tidak memuaskan hati. Kadang-kadang sesuatu perkara itu tidak boleh disampaikan secara terus kerana beberapa faktor. Apatah lagi seseorang itu merupakan kawan baik anda. Sudah tentulah anda ingin menjaga hatinya.
Gambar Hiasan
"Bahasa sindiran ialah bahasa atau perkataan yang ditujukan maksudnya kepada seseorang dengan tidak disebutkan dengan tepat, hanya disigung dengan dikias-kiaskan atau diarahkan kepada perkara lain kerana tidak suka hendak menyebutnya terang-terang. "
Lazimnya, sesuatu perkara itu mesti terdapat pro dan kontranya. Begitu juga dengan bahasa sindiran. Sindiran akan berkesan jika dilakukan dengan baik dan betul, malah orang yang kena sindir juga dapat menerima sindiran tersebut dengan berlapang dada serta tidak akan berkecil hati. Namun, akan timbul masalah lain jika sindiran yang  dilakukan tidak kena dengan caranya.
Ulasan : Tidak salah sekiranya sekali skala kita menggunakan sindiran untuk menegur kesalahan seseorang, tetapi pastikan bahasa yang digunakan tidak melampau kerana bimbang akan menyebabkan pergaduhan atau sebagainya.