Sukar untuk seseorang menanggapi dan memahami cara serta sebab orang Melayu berbohong tanpa melibatkan diri dengan kehidupan sosial masyarakat itu. Walau apa pun cara yang digunakan oleh mereka semasa berbohong, perlakuan itu dilakukan semata-mata kerana tidak mahu orang lain terasa kecewa, sakit hati, marah, tersinggung dan iri hati sekiranya mereka berterus terang. Namun demikian, matlamat mereka cuma satu, iaitu mahu mengeratkan hubungan yang sedia terjalin dan mahu memastikan hubungan tersebut terus berkekalan.
Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa bohong merupakan cerminan pemikiran orang Melayu yang tidak suka berterus terang. Mereka juga sukar untuk berkata tidak secara terang-terangan. Segala tindakan sering dilakukan secara berselindung atau mempunyai unsur-unsur yang tersirat. Perlakuan bohong yang dilakukan oleh orang Melayu merupakan salah satu cara berbahasa yang bersifat tidak langsung semasa berkomunikasi. Bohong juga menggambarkan budaya masyarakat ini yang seringkali mendahulukan kepentingan orang lain lebih daripada kepentingan diri sendiri.
Ulasan : Fenomena pembohongan dalam berbahasa merupakan satu alternatif untuk mengelakkan sebarang kekeruhan dalam sesebuah hubungan komunikasi.