Wednesday, March 27, 2013

Bahasa Pasar

Gambar Hiasan

Apa itu bahasa pasar? Bahasa pasar merupakan bahasa yang menggunakan struktur ayat bahasa Melayu tetapi terdapat campuran perkataan bahasa asing. Paling ketara ialah bahasa pasar menggunakan kata ganti nama asing seperti i, we all, you all, gua, lu, semua orang, bai, kitorang dan sebagainya. Bahasa ini boleh dianggap bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, perhentian bas dan sebagainya. 

CONTOH BAHASA PASAR

“U mau beli apa maa? I boleh kasi U ini barang Rm10 saja”.

Ulasan : Masyarakat hari ini lebih cenderung menggunakan bahasa pasar kerana terikut-ikut dengan situasi setempat. Misalnya, apabila kita pergi ke pasar, secara tidak langsung kita akan menggunakan bahasa ini terutamanya apabila berkomunikasi dengan peniaga bukan Melayu. Walaupun bahasa ini ternyata dapat menyampaikan mesej, tetapi bahasa ini bukanlah bahasa tinggi. Sebenarnya bahasa ini dapat dielakkan jika kita membiasakan komunikasi harian kita dengan bahasa melayu standard.

Bahasa SMS

Kecanggihan teknologi komunikasi hari ini terutamanya dalam Sistem Pesanan Ringkas ataupun singkatannya SMS melalui telefon bimbit telah membantu mempercepatkan perhubungan dalam kalangan masyarakat. Komunikasi ini boleh bersifat formal dan tidak formal. Dalam konteks formal, SMS yang dihantar ditulis dengan ayat yang betul dan baik mengikut nahu dan ejaan rasmi namun dalam konteks tidak formal, lazimnya SMS yang dihantar menggunakan kata singkatan, simbol dan sebagainya.

     Tujuan penggunaan singkatan dalam SMS adalah untuk  menjimatkan masa dan kos penghantaran SMS tersebut. Saya juga tidak terkecuali dalam menggunakan singkatan semasa berkomunikasi melalui khidmat pesanan ringkas, namun terdapat satu perkara yang ingin saya tekankan di sini, iaitu penggunaan singkatan yang keterlaluan semasa menghantar SMS sehingga menyebabkan berlakunya kekeliruan. 

                              
Gambar Hiasan

     Pada pendapat saya, tidak salah menggunakan singkatan dalam menghantar pesanan ringkas, tetapi jangan sampai menyusahkan penerimanya dek kerana tidak memahami mesej yang ingin anda  sampaikan. Cuba anda bayangkan sekiranya anda di tempat si penerima mesej tersebut, sudah pasti anda merasa marah dan geram jika tidak mampu membaca apatah lagi memahaminya. Namun, masalah ini dapat dibendung jika masyarakat sedar akan pentingnya menjaga bahasa dan berusaha untuk memartabatkannya.


Ulasan : Gunalah bahasa singkatan yang boleh diterima dan difahami oleh semua lapisan masyarakat agar tidak berlaku salah faham dalam berkomunikasi.

Bahasa Slanga

Gambar Hiasan
Apa itu bahasa slanga? Berdasarkan pengetahuan dan pemahaman saya, bahasa slanga ini merupakan bahasa yang sering diguna pakai dalam kelompok golongan muda atau remaja. Bahasa slanga ini tidak sesuai digunakan dalam majlis formal atau ketika bercakap dengan orang yang lebih tua. Kebiasaannya, bahasa ini sering digunakan dalam kalangan golongan muda ketika berkomunikasi dalam kalangan mereka sendiri. Antara contoh perkataannya yang sering kita dengar ialah lu, gua, langsi, bikin dan sebagainya.


     Apakah faktor yang mendorong penggunaan bahasa slanga secara berleluasa dalam kalangan golongan muda? Lazimnya, faktor utama yang mendorong kepada penggunaan bahasa slanga ini ialah media massa. Hal ini dapat dilihat melalui penerbitan dan tayangan filem seperti KL Gangster, Adnan Sempit, Rempit, Bohsia dan sebagainya. Umum mengetahui golongan muda ialah golongan yang mudah terpengaruh dengan budaya-budaya yang baharu timbul.

Ulasan : Oleh itu, bersama-samalah kita menerapkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam pengucapan seharian kerana penggunaan bahasa slanga boleh menyebabkan berlakunya pencemaran bahasa.

Bahasa Halus

Gambar Hiasan
Bahasa ialah budaya sesebuah bangsa. Perubahan dalam taraf sosial dan cara hidup masyarakat secara tidak langsung akan mengubah bahasa sesebuah masyarakat. Justeru itu, masyarakat sering didedahkan dengan pelbagai bentuk dan nilai-nilai budaya bahasa yang baharu. Banyak faktor yang mendorong ke arah penyusutan penggunaan bahasa halus. Bagaimanapun, kecenderungan kumpulan-kumpulan tertentu dalam mereka bentuk bahasa slanga secara tidak langsung telah mengakibatkan penyusutan dalam penggunaan bahasa halus secara mendadak. Bahasa halus ialah satu elemen yang turut membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat Melayu.

Bahasa halus adalah satu kemahiran lisan yang unik. Bahasa halus dapat didefinisikan sebagai penggunaan bahasa yang beradat dan bersopan serta menggunakan segala strategi untuk kemanisan berbicara. Menurut Fries, 85% daripada bahasa yang wujud adalah dalam bentuk pertuturan sementara bentuk penulisan dianggap sebagaisecondary language (bahasa sekunder). Oleh itu kebolehan menggunakan ‘bahasa halus’ dalam pertuturan (lisan) dianggap sebagai sesuatu kemahiran penting dalam adat resam serta dapat menunjukkan tahap ketajaman minda.

Lebih-lebih lagi dalam menuturkan bahasa halus beberapa aspek harus ditekankan serentak antaranya ialah perkataan, rangkai kata, ayat, bunyi, intonasi, hentian, tekanan dan nada. Justeru itu, kajian mengenai bahasa halus akan melibatkan juga kajian mengenai bidang sosiolinguistik dan bidang semantik. Dalam hal ini, ‘bahasa halus’ tentulah merujuk kepada kajian budaya bahasa masyarakat Melayu. Lazimnya, apabila membicarakan ‘bahasa halus’, kita juga secara tidak langsung dapat melihat tahap pendidikan si penutur begitu juga kedudukan sosialnya apabila komunikasi berlangsung.

Bagaimanapun kehalusan bahasa banyak bergantung kepada kelembutan dan kemesraan kata-kata yang digunakan dan ini tentulah amat berbeza dengan kaedah membodek. Dalam hal ini, kehalusan bahasa akan digabungkan pula dengan intonasi yang rendah dalam pengucapan dan ini mestilah dicernakan dengan penggunaan tatabahasa yang lengkap, teratur dan bersopan.

Ulasan : Sebelum menggunakan bahasa halus, kita seharusnya mengambil kira latar dan budaya si pendengar kerana bahasa halus bukannya sesuatu untuk difahami oleh individu berkenaan sahaja tetapi mestilah melibatkan kumpulan masyarakat.

Bahasa dan Jantina

Perbezaan bahasa antara lelaki dan wanita sebenarnya memang wujud. Ramai ahli sarjana menyatakan bahawa bahasa wanita lebih lembut dan bersopan berbanding dengan bahasa atau pengucapan lelaki yang lebih tegas dan langsung. Perbezaan ini dapat dilihat melalui struktur bahasa dan kosa kata yang digunakan oleh kedua-duanya. Menurut Wolfram (1967:76), kaum wanita memperlihatkan tahap kepekaan yang lebih terhadap ciri-ciri bahasa yang diberi penilaian yang tinggi daripada lelaki, manakala menurut Labov (1990:205), kaum wanita secara konsisten lebih kerap menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang lebih mendekati bentuk-bentuk yang berprestij berbanding kaum lelaki. Malah, menurut beliau dalam keadaan stratifikasi sosiolinguistik yang mantap, kaum lelaki lebih banyak menggunakan bentuk-bentuk tidak baku berbanding dengan kaum wanita.

Gambar Hiasan
     Berdasarkan kenyataan para ahli sarjana tersebut jelas memperlihatkan kepada kita bahawa kaum wanita itu mempunyai ciri-ciri nilai bahasa yang lebih tinggi berbanding lelaki. Perkara ini dapat kita lihat dalam pergaulan seharian. Bahasa kaum wanita didapati lebih sopan daripada bahasa kaum lelaki yang lebih kerap menggunakan kata-kata kesat. Rata-rata kaum wanita lebih banyak menggunakan bahasa sopan seperti kata ‘maaf’, ‘terima kasih’ dan sebagainya. Apabila seseorang wanita itu berada dalam keadaan marah atau tidak senang, mereka  lebih banyak menggunakan perkataan-perkataan yang bersifat eufemisme ‘berlapik” yang lebih sedap didengar kerana wanita ingin menjaga hati orang lain terutama dalam pertuturan berbanding lelaki.

     Ketegasan dalam berbahasa bagi kaum lelaki itu mungkin disebabkan mereka mempunyai sifat keberanian, kematangan, mempunyai kekuatan dan kegagahan berbanding wanita. Malah lelaki mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berat berbanding wanita terutama tugas dalam mencari nafkah untuk menyara keluarga kerana tugas itu sememangnya dipikul oleh kaum lelaki. Walau bagaimanapun, berlainan dengan kaum lelaki yang bersifat wanita sering menggunakan variasi bahasa wanita dan sebaliknya wanita yang bersifat lelaki lebih gemar kepada variasi bahasa lelaki.

Ulasan : Oleh itu, jelaslah di sini bahawa bahasa kaum lelaki lebih kasar daripada bahasa kaum wanita. Golongan wanita lebih banyak menggunakan kata-kata eufemisme, sopan dan lembut. Perkara ini jelas dapat dilihat terutama sekali dari sudut penggunaan intonasi yang digunakan ketika berkomunikasi. Walau bagaimanapun, penggunaan intonasi dalam berbahasa di antara kedua-dua jantina ini bergantung kepada faktor situasi.