![]() |
Gambar Hiasan |
Bahasa ialah budaya sesebuah
bangsa. Perubahan dalam taraf sosial dan cara hidup masyarakat secara tidak
langsung akan mengubah bahasa sesebuah masyarakat. Justeru itu, masyarakat
sering didedahkan dengan pelbagai bentuk dan nilai-nilai budaya bahasa yang
baharu. Banyak faktor yang mendorong ke arah penyusutan penggunaan bahasa halus.
Bagaimanapun, kecenderungan kumpulan-kumpulan tertentu dalam mereka bentuk
bahasa slanga secara tidak langsung telah mengakibatkan penyusutan dalam penggunaan
bahasa halus secara mendadak. Bahasa halus ialah satu elemen yang turut
membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat Melayu.
Bahasa
halus adalah satu kemahiran lisan yang unik. Bahasa halus dapat didefinisikan
sebagai penggunaan bahasa yang beradat dan bersopan serta menggunakan segala
strategi untuk kemanisan berbicara. Menurut Fries, 85% daripada bahasa yang
wujud adalah dalam bentuk pertuturan sementara bentuk penulisan dianggap
sebagaisecondary language (bahasa
sekunder). Oleh itu kebolehan menggunakan ‘bahasa halus’ dalam pertuturan
(lisan) dianggap sebagai sesuatu kemahiran penting dalam adat resam serta dapat
menunjukkan tahap ketajaman minda.
Lebih-lebih
lagi dalam menuturkan bahasa halus beberapa aspek harus ditekankan serentak
antaranya ialah perkataan, rangkai kata, ayat, bunyi, intonasi, hentian,
tekanan dan nada. Justeru itu, kajian mengenai bahasa halus akan melibatkan
juga kajian mengenai bidang sosiolinguistik dan bidang semantik. Dalam hal ini,
‘bahasa halus’ tentulah merujuk kepada kajian budaya bahasa masyarakat Melayu.
Lazimnya, apabila membicarakan ‘bahasa halus’, kita juga secara tidak langsung
dapat melihat tahap pendidikan si penutur begitu juga kedudukan sosialnya
apabila komunikasi berlangsung.
Bagaimanapun kehalusan bahasa
banyak bergantung kepada kelembutan dan kemesraan kata-kata yang digunakan dan
ini tentulah amat berbeza dengan kaedah membodek. Dalam hal ini, kehalusan
bahasa akan digabungkan pula dengan intonasi yang rendah dalam pengucapan dan
ini mestilah dicernakan dengan penggunaan tatabahasa yang lengkap, teratur dan
bersopan.
Ulasan : Sebelum menggunakan bahasa halus, kita
seharusnya mengambil kira latar dan budaya si pendengar kerana bahasa halus
bukannya sesuatu untuk difahami oleh individu berkenaan sahaja tetapi mestilah
melibatkan kumpulan masyarakat.
No comments:
Post a Comment