Wednesday, March 27, 2013

Bahasa SMS

Kecanggihan teknologi komunikasi hari ini terutamanya dalam Sistem Pesanan Ringkas ataupun singkatannya SMS melalui telefon bimbit telah membantu mempercepatkan perhubungan dalam kalangan masyarakat. Komunikasi ini boleh bersifat formal dan tidak formal. Dalam konteks formal, SMS yang dihantar ditulis dengan ayat yang betul dan baik mengikut nahu dan ejaan rasmi namun dalam konteks tidak formal, lazimnya SMS yang dihantar menggunakan kata singkatan, simbol dan sebagainya.

     Tujuan penggunaan singkatan dalam SMS adalah untuk  menjimatkan masa dan kos penghantaran SMS tersebut. Saya juga tidak terkecuali dalam menggunakan singkatan semasa berkomunikasi melalui khidmat pesanan ringkas, namun terdapat satu perkara yang ingin saya tekankan di sini, iaitu penggunaan singkatan yang keterlaluan semasa menghantar SMS sehingga menyebabkan berlakunya kekeliruan. 

                              
Gambar Hiasan

     Pada pendapat saya, tidak salah menggunakan singkatan dalam menghantar pesanan ringkas, tetapi jangan sampai menyusahkan penerimanya dek kerana tidak memahami mesej yang ingin anda  sampaikan. Cuba anda bayangkan sekiranya anda di tempat si penerima mesej tersebut, sudah pasti anda merasa marah dan geram jika tidak mampu membaca apatah lagi memahaminya. Namun, masalah ini dapat dibendung jika masyarakat sedar akan pentingnya menjaga bahasa dan berusaha untuk memartabatkannya.


Ulasan : Gunalah bahasa singkatan yang boleh diterima dan difahami oleh semua lapisan masyarakat agar tidak berlaku salah faham dalam berkomunikasi.

No comments:

Post a Comment