Wednesday, March 27, 2013

Bahasa dan Jantina

Perbezaan bahasa antara lelaki dan wanita sebenarnya memang wujud. Ramai ahli sarjana menyatakan bahawa bahasa wanita lebih lembut dan bersopan berbanding dengan bahasa atau pengucapan lelaki yang lebih tegas dan langsung. Perbezaan ini dapat dilihat melalui struktur bahasa dan kosa kata yang digunakan oleh kedua-duanya. Menurut Wolfram (1967:76), kaum wanita memperlihatkan tahap kepekaan yang lebih terhadap ciri-ciri bahasa yang diberi penilaian yang tinggi daripada lelaki, manakala menurut Labov (1990:205), kaum wanita secara konsisten lebih kerap menggunakan bentuk-bentuk bahasa yang lebih mendekati bentuk-bentuk yang berprestij berbanding kaum lelaki. Malah, menurut beliau dalam keadaan stratifikasi sosiolinguistik yang mantap, kaum lelaki lebih banyak menggunakan bentuk-bentuk tidak baku berbanding dengan kaum wanita.

Gambar Hiasan
     Berdasarkan kenyataan para ahli sarjana tersebut jelas memperlihatkan kepada kita bahawa kaum wanita itu mempunyai ciri-ciri nilai bahasa yang lebih tinggi berbanding lelaki. Perkara ini dapat kita lihat dalam pergaulan seharian. Bahasa kaum wanita didapati lebih sopan daripada bahasa kaum lelaki yang lebih kerap menggunakan kata-kata kesat. Rata-rata kaum wanita lebih banyak menggunakan bahasa sopan seperti kata ‘maaf’, ‘terima kasih’ dan sebagainya. Apabila seseorang wanita itu berada dalam keadaan marah atau tidak senang, mereka  lebih banyak menggunakan perkataan-perkataan yang bersifat eufemisme ‘berlapik” yang lebih sedap didengar kerana wanita ingin menjaga hati orang lain terutama dalam pertuturan berbanding lelaki.

     Ketegasan dalam berbahasa bagi kaum lelaki itu mungkin disebabkan mereka mempunyai sifat keberanian, kematangan, mempunyai kekuatan dan kegagahan berbanding wanita. Malah lelaki mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berat berbanding wanita terutama tugas dalam mencari nafkah untuk menyara keluarga kerana tugas itu sememangnya dipikul oleh kaum lelaki. Walau bagaimanapun, berlainan dengan kaum lelaki yang bersifat wanita sering menggunakan variasi bahasa wanita dan sebaliknya wanita yang bersifat lelaki lebih gemar kepada variasi bahasa lelaki.

Ulasan : Oleh itu, jelaslah di sini bahawa bahasa kaum lelaki lebih kasar daripada bahasa kaum wanita. Golongan wanita lebih banyak menggunakan kata-kata eufemisme, sopan dan lembut. Perkara ini jelas dapat dilihat terutama sekali dari sudut penggunaan intonasi yang digunakan ketika berkomunikasi. Walau bagaimanapun, penggunaan intonasi dalam berbahasa di antara kedua-dua jantina ini bergantung kepada faktor situasi.

No comments:

Post a Comment