Perlakuan bohong dalam kalangan orang Melayu diperhatikan berdasarkan kepada sikap mereka yang suka berahsia, suka berselindung dan tidak suka berterus terang. Fenomena bohong dalam kalangan orang Melayu harus dikaitkan dengan konsep budi bahasa mereka. Sikap orang Melayu yang tidak suka bercakap terus terang menyebabkan sukar untuk mereka mengatakan tidak. Apabila mereka tidak berterus terang, maka pengucapan yang lahir merupakan kata-kata yang berlawanan dengan pengucapan yang sebenarnya. Bagi mereka, cara sebegini dianggap lebih sopan dan berbudi mulia. Tatasusila orang Melayu yang sedemikian rupa secara tidak disedari telah mempengaruhi tingkah laku dan pertuturan mereka.
Fenomena menidakkan sesuatu kebenaran merupakan salah satu daripada jenis bohong yang dilakukan secara tidak disedari oleh orang Melayu. Bagi orang Melayu, fenomena menafikan sesuatu kebenaran seperti itu sebagai satu pembohongan kerana mungkin mereka lebih suka untuk memilih istilah merendah diri kerana istilah bohong membawa satu konotasi yang negatif. Oleh yang demikian, mereka terdorong untuk mengungkapkan pertuturan yang berunsur bohong, semata-mata tidak mahu orang lain berasa kecewa, sakit hati, tersinggung, kecil hati, marah dan sebagainya. Maka, dapat disimpulkan bahawa mereka sentiasa cuba memelihara hubungan yang baik dengan orang lain dan sanggup memendam rasa kerana terpaksa memuaskan hati orang lain berbanding dengan kepuasan sendiri.
Sebelum sesuatu perlakuan bohong itu berlaku, pihak yang mahu berbohong harus mengetahui terlebih dahulu sifat dan peribadi orang yang hendak dibohonginya itu. Jika seseorang itu mengetahui bahawa pihak kedua adalah seorang yang sanggup menerima sesuatu perkara itu dengan cara langsung tanpa perlu berselindung, maka dia tidak akan berbohong atau berselindung dengan pihak kedua. Sebaliknya, dia akan berterus terang memberitahu perkara yang sebenarnya kepada pihak kedua, biarpun perkara tersebut boleh memeranjatkan pihak kedua. Dalam hal ini, pihak yang pertama itu mengetahui bahawa diri pihak kedua adalah seorang yang rasional dan tidak emosional.
Ulasan : Secara tidak langsung, orang Melayu dengan sendirinya telah membenarkan semua jenis perlakuan bohong yang kadang-kadang disifatkan sebagai bohong sunat.
No comments:
Post a Comment