Friday, March 15, 2013

Tetamu Berlainan Bahasa


Rumah sewa saya berhadapan dengan rumah sewa salah seorang pensyarah UPSI yang berwarganegara Nigeria. Saya tidak mengetahui nama pensyarah tersebut memandangkan beliau tidak mengajar saya. Tambahan pula, kami tidak pernah bertegur sapa. Sekadar berbalas senyuman saja. Pada suatu petang, saya terdengar seseorang memberi salam. Lalu saya pun bergegas pergi membuka pintu rumah. Rupa-rupanya, isteri kepada pensyarah tadi yang datang. Dia bertanyakan sesuatu kepada saya dengan menggunakan bahasa Inggeris. Saya tidak memahami sepenuhnya pertanyaan tersebut kerana bahasa Inggerisnya mungkin mengikut slang bahasa negara asalnya. Dia tidak fasih berbahasa Inggeris, begitu juga saya. Dia bertanya tentang kemungkinan saya ada melihat anak perempuannya. Saya menjawab tidak. Kebetulan pula jiran saya yang ada ternampak anaknya segera memberitahunya pada ketika itu. Ohh… Rupa-rupanya dia mendakwa ada ternampak anaknya yang berumur lingkungan 5 tahun bermain-main di hadapan rumah saya. Selepas mengucapkan “thank you” dan “sorry to disturb you” dia pun berlalu pergi.

Pengajaran : Lumrah hidup bermasyarakat, kita perlulah sentiasa beramah mesra sesama jiran tetangga supaya kita tidak berasa janggal dalam pergaulan. Juga pesan kepada diri sendiri untuk terus memperkasakan bahasa Inggeris.

Bahasa Setempat

Ketika dalam perjalanan pulang dari kelas Sosiolinguistik pada petang Khamis lepas, Hidayah ternampak ada sebatang pokok pisang yang berbuah. Buahnya masih lagi putik. Pokok pisang tersebut milik salah seorang penduduk kampung di kawasan itu. Seperti biasa, kami akan melalui rumah-rumah kampung tersebut sebelum sampai ke kawasan perumahan tempat kami menyewa.

Hidayah    : Eh, dah lama tak makan buah pisang. Dah dekat setahun rasanya.  Bestnya kalau dapat makan!

Ibadah      : hah! Setahun? Tipu la… (Dalam nada bergurau).

Hidayah   : (Sambil ketawa) Emm… Ok, lebih sebulan la. Kalau kat rumah, ayah atau abang selalu beli  pisang. Nak bagi burung makan. Dayah pun makan sekali. (Ketawa kecil).

Ibadah     : (Turut sama ketawa) Laa… Bagi burung makan pisang? Kenapa tak bagi beras aje?

Hidayah    : Burung makan beras ke? Burung makan sambau la…

Ibadah      : Sambau? Apa tu? (Safira turut mengajukan soalan yang sama).

Hidayah    : Sambau la… Yang orang selalu bagi kat burung tu.

Ibadah      : Mungkin dedak kot. (Sambil berpaling kepada Safira).

Hidayah    : Dedak lain. Tapi lebih kurang macam dedak jugak la.

Inilah sambau yang dimaksudkan oleh Hidayah.
Hidayah berasal dari Kedah. Safira pula berasal dari Kelantan tetapi menetap di Kedah. Saya sendiri berasal dari Terengganu. Apabila kami berborak-borak, ada sahaja perkataan yang saya atau mereka berdua tidak mengerti. Maklum sajalah, masing-masing berasal dari tempat yang berbeza. Sudah tentulah bahasanya juga berbeza. Bak kata pepatah: “lain negeri, lain adatnya”. Begitu juga dengan bahasa.

Pengajaran : Ada baiknya juga kita bergaul dengan orang yang bukan satu negeri dengan kita. Daripada pergaulan itu, kita boleh bertukar-tukar pendapat serta berkongsi ilmu.

Yang Tua Dihormati

Pada masa kini, orang yang lebih muda lebih cenderung untuk tidak menggunakan frasa pak cik, mak cik, abang atau kakak dalam kehidupan seharian mereka. Mereka beranggapan soal menghormati orang yang lebih tua itu adalah perkara remeh dan tidak perlu diamalkan dalam kehidupan seharian.

     Ada juga sesetengah masyarakat yang hanya menggunakan frasa tersebut apabila bertemu dengan orang yang betul-betul dikenali, dihormati atau terpaksa menggunakan panggilan sebegitu kerana masyarakat sekeliling memanggil orang tersebut dengan panggilan sedemikian.

     Sebagai orang Islam, kita sepatutnya menghormati saudara Islam yang lain terutama sekali orang yang lebih tua kerana itulah adab kita. Jadi, jangan menganggap remeh tentang perkara ini kerana sesetengah masyarakat yang tidak beragama Islam, akhirnya memeluk agama Islam kerana tertarik dengan budaya kita.

Haa... Macam ni kan bagus! 

Pengajaran : Ingatlah bahawa semua yang beragama Islam itu bersaudara. Oleh itu, kita perlu menghormati mereka yang lebih tua sebagaimana kita menghormati saudara kandung kita.

Budi Bahasa Budaya Kita

'BUDI BAHASA BUDAYA KITA'. Itulah slogan yang selalu dihebah-hebahkan oleh media massa kini. Kita juga sering mengajak orang lain untuk mengamalkan budaya itu. Malah, ada juga antara kita yang membuat aduan sekiranya terdapat pekerja terutamanya pekerja di jabatan kerajaan yang tidak mengamalkan ‘budi bahasa budaya kita’. Namun, adakah kita sendiri mengamalkan budaya tersebut?

Pengajaran : Tepuk dada tanyalah iman. Jangan pula tepuk dada tanya selera kerana selara selalunya mengikut nafsu dan nafsu pula tidak pernah puas. Itulah lumrah kita sebagai manusia.

Menjaga Air Muka

Pagi tadi, saya dan seorang teman makan dekat salah satu kedai makan yang terdapat di hadapan kampus. Lepas ambil lauk, kami duduk di tempat yang disediakan. Belum pun sempat saya menjamah makanan, teman saya, iaitu Ina (bukan nama sebenar) tiba-tiba bersuara.


Ina    : Eh, try kau tengok nasi kau.
Saya : (Pelik) Emm… Ok aje. Tak ada apa-apa pun. Kenapa?
Ina    : Try kau tengok nasi aku pulak. Macam basi aje.
Saya : Ha’ah la. Melekit aje nampak. So, macam mana?

Kami diam sejenak. Tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Memandangkan ramai pelanggan yang berkunjung ke kedai tersebut, maka rasanya tidak sesuai sekiranya kami terus memanggil pemilik kedai itu. Akhirnya, Ina bangun dan terus pergi kepada pemilik kedai untuk memberitahu tentang nasinya yang basi. Tidak lama kemudian, pemilik kedai itu datang membawakan Ina nasi yang lain. Dia juga meminta maaf kepada Ina atas kesulitan yang dialami.

Pengajaran : Sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak diingini seperti cerita di atas, janganlah anda sibuk membawa buah mulut. Eloklah sekiranya berbincang dengan pemilik kedai secara peribadi. Itu adalah satu tindakan yang bijak! 

Friday, March 8, 2013

Senyum Itu Sedekah



Senyum memang nampak mudah dari segi teorinya tetapi sukar dipraktikkan oleh sebahagian masyarakat kini seolah-olah terdapat berjongkong-jongkong emas di dalam mulut. Saya sebenarnya agak kecewa kerana terdapat sesetengah masyarakat yang tidak mengetahui bahawa senyum itu merupakan salah satu cara kita berbudi bahasa. Senyum itu juga merupakan satu sedekah yang paling senang untuk diamalkan dan seterusnya mampu menjalinkan hubungan yang lebih mesra sesama masyarakat.

SENYUM... tak perlu kata apa-apa. Alangkah indahnya jika masyarakat kini mengamalkan amalan senyum seperti di dalam gambar di atas. Sekiranya seseorang berbuat kebaikan kepada kita, cukuplah sekadar senyuman yang dilemparkan dan itu sudah memadai sebagai ucapan terima kasih dan tanda dihargai. Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan ketinggian budi bahasa dan adab sopan, namun kini sepertinya nilai itu sudah semakin pudar. Bersama-samalah kita memartabatkan budaya kesopanan kita agar tidak hilang ditelan zaman.

Pengajaran : Senyumlah seikhlas hati. Di samping mendapat pahala, senyum juga mampu menghilangkan pelbagai sifat negatif kerana senyum merupakan terapi jiwa. :D

Angin Satu Badan

Sebelum memulakan kuliah pagi itu, aku dan dua orang temanku singgah di salah satu kedai makan yang terdapat di hadapan kampus untuk membeli kuih sebagai sarapan. Aku bertanya kepada salah seorang pekerja kedai itu berkenaan kuih yang terdapat di sana.

Gambar Hiasan

Aku      : Kak, kuih ni nak kira macam mana. Seringgit 3 keping ke?

Pekerja : Satu keping 50 sen. Macam la tak pernah beli kuih!

Tersentap! Sopan sungguh jawapan yang diberikan. Begitukah caranya melayan pelanggan? Riak senyuman di wajahnya langsung tidak tergambar.

Aku    : Kuih kat semua kedai lain saya dah pernah beli dah. Kedai ni je belum lagi. Bagus ye layanan kat sini.

Sebaik sahaja mendengar jawapan aku, dia terus berlalu ke dapur. Kami pula terus keluar dan menuju ke kedai lain. Boleh majukah perniagaan kalau begitu caranya melayan pelanggan? Langsung tidak ada etika dan tidak mesra pelanggan.

Pengajaran : Belajar dahulu cara-cara untuk melayan pelanggan sebelum membuka sesuatu perniagaan. Cuba melatih diri untuk senyum.

P/s : Serik untuk ke kedai itu lagi… L

Masih Selamatkah Bumi Tanjong Malim?




Pekan Tanjong Malim


UPSI

Setiap hari ada saja berita yang mengatakan rumah sewaan pelajar dipecah masuk, pelajar diragut dan juga pelajar dihantui dengan gangguan seksual. Seingat saya, perkara ini sudah lama berlaku. Mengapa masih lagi tetap kita mendengar berita-berita yang tidak enak itu? Pihak berwajib tidak mengambil tindakankah? Atau salah si mangsa yang tidak membuat aduan? Padahal musibah-musibah itu berlaku di kawasan atau tempat yang sama. 

  Kerisauan para pelajar semakin meningkat tambah-tambah lagi mangsa yang terlibat merupakan para kenalan rapat. Apatah lagi diri sendiri sudahpun menjadi mangsa, seperti saya. Tidak perlu rasanya saya menceritakan peristiwa hitam itu secara terperinci kerana trauma itu masih lagi utuh dalam diri. Selalu saja terasa diri tidak selamat sebaik saja kaki melangkah keluar daripada rumah sewa. Juga selalu saja diri ini memandang serong terhadap masyarakat di luar sana. Sampaikan setiap kali berselisih kenderaan dengan mana-mana lelaki ketika di jalanan, jantung akan berdegup kencang dan menganggap mereka semua adalah manusia jahat! Tahap kepercayaan terhadap mereka adalah kosong! Pantaskah saya bersikap begitu? Siapakah yang patut dipersalahkan?

  Sedangkan aduan kepada pihak berkuasa telah dibuat, tetapi malangnya langsung tiada apa-apa tindakan susulan. Perkara sama masih juga tetap berlaku walau setinggi manapun tahap kewaspadaan anda. Tahap kerisauan semakin tinggi apabila terpaksa pulang ke rumah pada lewat malam setiap hari sepanjang satu semester ini kerana perlu menghadiri sesi latihan untuk subjek drama yang diambil. Mujurlah ada dua rakan baik yang juga turut mengambil subjek tersebut. Ada jugalah peneman walaupun masing-masing jenis penakut orangnya. Tawakkaltu ‘alallah!

Pengajaran : Sentiasa waspada walau di mana anda berada hatta di dalam rumah sekalipun. Jangan mudah percaya pada orang yang anda baru kenali. AWAS!

P/s : Ada sape-sape sudi jadi ‘bodyguard’ kami tak? :D

Ku Sangka Panas Sampai ke Petang


                              
                                                 Gambar Hiasan

Seperti biasa, habis saja kuliah kami (saya, Hidayah dan Safira) akan mengayuh basikal untuk pulang ke rumah. Sebelum ini lancar saja perjalanan kami. Tapi malang tidak berbau apabila tengahari itu tayar hadapan basikal saya menyondol tayar belakang basikal Safira. Akibatnya saya terjatuh sedangkan Safira terus mengayuh bagaikan tiada apa yang berlaku. Patutkah? Haha. Katanya, “Ingatkan langgar-langgar biasa saja”. Nasib baik ada sekumpulan pelajar perempuan yang berhati mulia datang menolong saya (masih ada yang prihatin). Sempat juga saya berterima kasih kepada mereka yang kelihatan terburu-buru untuk ke kelas. Belum sempat berkenalan, mereka sudahpun berlalu pergi. Si Hidayah pula tergamam tidak bereaksi di belakang. Kemalangan kecil ini berlaku betul-betul di hadapan bangunan Malim Sarjana. Mujurlah tidak terdapat sebarang kecederaan. Syukur Alhamdulillah! Ohh... malu tidak terkata. Lesen basikal pun belum lulus, inikan pula hendak mencuba lesen motorsikal.

Pengajaran : Berhati-hatilah di jalan raya. Ingatlah orang yang tersayang! Jangan ingat pengguna basikal tidak akan terlibat dengan kemalangan. Berbasikal juga ada risikonya.

P/s : Jom ambil lesen 1 Malaysia? Saya dan Safira baru saja mendaftar. Anda bila lagi Hidayah? :P

Aku Punya Nama


Inilah namaku!

Gara-gara tidak mahu menggunakan nama sebenar, akhirnya nama itu disalahertikan. Mahu mengetahui cerita selanjutnya? Haa… bacalah lagi! Hehe

Adah (bukan nama sebenar) merupakan rakan serumahku juga merangkap kawan baikku. Petang itu, kawan kepada Adah, iaitu Ita (bukan juga nama sebenar) mengajaknya untuk ke Pizza Hut. Aku difahamkan Ita sudah lama teringin nak makan pizza. Aku dan Ita saling mengenali tetapi kami tidak terlalu rapat. Sekadar bertegur sapa saja sekiranya bertembung di mana-mana. Kebetulan pula aku tidak ada kuliah pada waktu dia mengajak Adah. Jadi, Adah juga mengajakku untuk turut serta. Inilah mesej antara Adah dan Ita yang ingin aku fokuskan.

Ita   : Adah, jom la kita pegi makan pizza. Dah lama teringin nak makan ni...
Adah : Boleh je... tapi aku pegi dengan Ibadah tau!
Ita  : Alaa... solat lepas kita makan la. (Ita ingatkan Ibadah yang  dimaksudkan oleh Adah ialah ibadat solat. Haha! Kebetulan waktu Zohor baru saja masuk)
Adah : Hahahaha Ibadah tu nama orang laa... nama facebook dia Cik Oren. Kan kau dah add dia.
Ita : Laa... aku ingatkan solat. Hahahaha. Kalau Cik Oren tu aku kenal la. Tak tahu la pulak aku nama sebenar dia Ibadah. :D

Haa... itulah padahnya apabila nama samaran lebih glemor daripada nama sebenar. Aku lebih dikenali sebagai Cik Oren dalam kalangan rakan-rakan sekursus. Ada juga di antara mereka yang masih tidak mengetahui nama sebenarku.

Pengajaran : Perkenalkan dahulu nama sebenar, kemudian barulah diikuti oleh nama samaran. Bukankah lebih baik begitu?

P/s : Bukan aku tidak bangga dengan nama itu, tetapi ramai kenalan Facebookku yang tidak percaya itu adalah namaku seperti yang tercatat dalam kad pengenalan. Jadi?